Saturday, August 29, 2009

Ambulans Kecemasan 24 Jam

KUALA LUMPUR 27 Ogos - St. John Ambulans Malaysia (SJAM) akan menyediakan perkhidmatan ambulans kecemasan 24 jam di beberapa lokasi lebuh raya pada 18, 19, 26 dan 27 September ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pemerintah Agung SJAM, Datuk Dr. Low Bin Tick memberitahu, perkhidmatan berkenaan akan merangkumi Lebuh Raya Utara-Selatan; Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Elite dan NKVE; dan jalan utama persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, seramai 2,000 anggota paramedik dan 50 buah ambulans akan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di seluruh negara.

Menurutnya, perkhidmatan ambulans kecemasan 24 jam yang diadakan sejak 1996 itu akan menjanjikan penambahbaikan dari aspek tenaga kerja, peralatan dan perkhidmatan.

''Pada tahun ini, bilangan ambulans kecemasan 24 jam bertambah kepada 50 buah. Selain itu, kami menerima lebih daripada 2,000 sukarelawan untuk terlibat dalam projek ini.''

Setiap ambulans akan ditempatkan di kawasan 'panas' kemalangan, jadi, kami mensasarkan masa kira-kira lima minit untuk ambulans kecemasan tiba ke tempat kejadian,'' jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Ambulans Kecemasan 24 jam kali ke-14 di ibu pejabat SJAM di sini hari ini.

Khidmat kecemasan itu dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi Genting Malaysia Berhad, Tun Haniff Omar.

Hadir sama, Ketua Turus (Latihan) SJAM, Datuk Dr. Lee Hoo Teong.

Pada majlis tersebut, Genting Malaysia Berhad menyumbangkan RM60,000 kepada SJAM untuk perkhidmatan ambulans kecemasan 24 jam itu.

Bin Tick memberitahu, pasukan itu menyasarkan beberapa lokasi 'panas' yang sering berlaku kemalangan seperti Gurun di Kedah; Pulau Pinang; dan Batu Pahat serta Pontian di Johor.

Jelasnya, perkhidmatan ambulans itu amat penting kerana jumlah kemalangan jalan raya lazimnya meningkat semasa musim perayaan.

Sementara itu, Haniff berkata, penglibatan Genting Malaysia Berhad dalam projek amal itu merupakan tanggungjawab sosial bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya menjelang hari perayaan.

''Mangsa kemalangan memerlukan bantuan sewajarnya dan jika dibiarkan tanpa menerima rawatan awal dikhuatiri boleh membawa maut.

''Maka dengan bantuan ambulans kecemasan 24 jam ini dapat memberi perkhidmatan segera kepada mangsa kemalangan,'' katanya.

- Utusan Malaysia

No comments: